Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 41,688.2 gram, bulan lalu.

Safrizal, 34, warga Indonesia dan seorang lelaki warga tempatan Lau Boon Siah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah itu pada pukul 11.30 pagi, 23 Jun lalu di kawasan hadapan pintu masuk kedua perniagaan Mei Hua Yuan Enterprise, di Jalan Paboi, Bukit Tambun, Nibong Tebal.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Siti Norsakinah Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Rashidah kemudiannya menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.