Dua lelaki ditipu scammer menyamar kenalan
Sinar Harian
Februari 12, 2022 08:10 MYT
Februari 12, 2022 08:10 MYT
JEMPOL: Dua lelaki mengalami kerugian berjumlah RM3,200 selepas diperdaya individu menyamar sebagai rakan mereka yang memerlukan bantuan kewangan dalam kejadian berasingan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian pada 16 Januari lalu seorang peniaga berusia 31 tahun menerima mesej daripada nombor telefon rakannya yang dikenali sebagai Azrul yang mahu meminjam wang.
Menurut Chang Hook, mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun Maybank atas nama seorang wanita secara dalam talian pada jam 4.53 petang dan kemudian RM1,200 pada jam 5 petang pada hari yang sama.
"Rakannya itu berjanji akan membayar hutang itu pada jam 8 malam namun berlaku sebaliknya, lalu mangsa menghubungi rakan kepada Azrul bernama Azmi.
Azmi memaklumkan dia bersama Azrul baru selesai membuat laporan polis selepas gambar Azrul digunakan bagi tujuan penipuan.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes pada Khamis selepas menyedari ditipu sehingga mengalami kerugian berjumlah RM1,700," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam kes berasingan, Chang Hook berkata, seorang jurutera berusia 27 tahun dari Felda Keratong, Pahang mengalami kerugian RM1,500 membabitkan modus operandi sama.
"Mangsa mendakwa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan gambar profil seorang rakan baik mangsa yang mahu meminjam wang pada Khamis pada jam 10.09 pagi.
"Kerana percaya rakan baiknya memerlukan pertolongan, mangsa memasukkan wang RM1,000 ke akaun milik individu yang tidak dikenali.
"Selepas menerima wang itu, rakannya itu sekali lagi mahu meminjam RM3,000 namun mangsa hanya memasukkan RM500 ke dalam akaun yang sama," katanya.
Chang Hook memberitahu, mangsa kemudian melihat status WhatsApp rakannya yang memaklumkan nombornya digunakan bagi tujuan penipuan dan penyamaran.
Katanya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.
"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian