Dua lelaki ditemui mati di pusat rawatan psikiatri
Adie Sufian Zulkefli
September 30, 2021 00:43 MYT
September 30, 2021 00:43 MYT
SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditemui meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat rawatan psikiatri di Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Shah, berkata kedua-dua lelaki terbabit berusia 20 dan 25 tahun adalah penghuni yang menjalani rawatan di premis berkenaan dan mereka meninggal dunia pada Selasa dan Rabu.
Menurut beliau, mayat penghuni berusia 25 tahun itu berasal dari Negeri Sembilan ditemui pengurus pusat rawatan terbabit pada jam 8.20 malam Selasa ketika dia ingin mengejutkan mangsa untuk makan ubat.
"Pengurus pusat rawatan itu cuba mengejutkan mangsa untuk makan ubat dan disedari dia tidak sedarkan diri lalu pengurus terbabit segera menghubungi hospital.
"Petugas kesihatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penghuni turut ditemui meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari, Rabu ketika berada di pusat rawatan terbabit.
"Mangsa yang berusia 20 tahun berasal dari Perak ditemui tidak sedarkan diri oleh penyelia pusat rawatan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan dia sudah mendapat suntikan vaksin pada 17 September lalu," katanya.
Adzli memaklumkan mayat kedua-dua lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.