Dua lelaki ditahan seludup pelbagai kotak barangan runcit bernilai lebih RM100,000

Bernama
November 10, 2024 09:15 MYT
Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan pelbagai kotak barangan runcit dari Thailand dianggarkan bernilai RM178,000 dalam Operasi Taring Wawasan, semalam. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan pelbagai kotak barangan runcit dari Thailand dianggarkan bernilai RM178,000 dalam Operasi Taring Wawasan, semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, PGA mengesan sindiket itu selepas menahan sebuah lori di sekatan jalan raya Chabang Empat Salam, Rantau Panjang.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berumur 44 dan 52 itu ditahan selepas PGA menemukan sejumlah kotak pada 2.30 petang dan mereka dipercayai menjadi penghantar barangan seludup berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam dan PGA terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan petrol yang dikesan di jalan hadapan sekolah kampung Simpangan, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Nik Ros Azhan berkata, rampasan dilakukan pada kira-kira 4 petang apabila ternampak sebuah kereta yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dalam op berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah tangki minyak yang telah diubah suai dianggar bernilai RM3,000 dan lebih 40 liter minyak petrol ditemukan dalam kereta berkenaan.
"Petrol ini dipercayai untuk diseludup ke negara jiran manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Hasil rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya. - BERNAMA
#seludup barangan runcit #Pasukan Gerakan Am #Operasi Taring Wawasan #penyeludupan
;