Dua lelaki ditahan seludup minuman keras dari Labuan
Junaidi Ladjana
Mei 22, 2021 15:17 MYT
Mei 22, 2021 15:17 MYT
LABUAN: Tindakan dua lelaki yang cuba menyeludup minuman keras gagal apabila bot dinaiki mereka karam selepas bergeser dengan bot Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Aru, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 10 malam itu, PPM Labuan yang menjalankan operasi di perairan berkenaan terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum mengejar.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, dua bot berkenaan yang dilihat bergerak ke tanah besar Sabah kemudian diarahkan berhenti namun tidak diendahkan.
Katanya, bot dinaiki suspek terus memecut laju, membuatkan anggota PPM bertindak mengejar kedua-dua bot berkenaan.
"Salah satu bot berkenaan berjaya ditahan selepas karam akibat bergeser dengan bot PPM manakala sebuah bot berjaya meloloskan diri.
"Juragan dan seorang awak-awak bot yang karam diselamatkan dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan sejumlah plastik hitam ditemui terapung di laut dipercayai minuman keras.
"Pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot dan awak-awak masing-masing berusia 47 tahun membawa dan dalam miliknya sejumlah bungkusan plastik hitam mengandungi dua jenama minuman keras tidak bercukai.
"Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai itu dianggarkan berjumlah RM9,100. Kedua-dua suspek ditahan dan minuman keras dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu, Saidul menegaskan operasi seperti ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan menguatkuasakan undang-undang maritim di sekitar perairan Labuan dan Tanah Besar Sabah supaya dapat mengekalkan ketenteraman awam.
#Seludup minuman keras
#dua ditahan
#Pasukan Polis Marin
#Tanjung Aru
#Labuan
#Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli
#polis marin