Dua lelaki ditahan selepas dikejar 40km

Sinar Harian
Mac 5, 2025 17:01 MYT
Suspek yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan akhirnya berjaya ditahan di hadapan IPD Kota Tinggi pada awal pagi Rabu. -Foto IPD Johor Bahru Selatan
JOHOR BAHRU: Selepas dikejar hampir 40 kilometer (km) dari Jalan Serampang di sini, akhirnya dua lelaki tempatan berjaya ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada awal pagi Rabu selepas melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Ringkasan AI
  • Dua lelaki tempatan berjaya ditahan di hadapan IPD Kota Tinggi selepas melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
  • Kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.
  • Kes disiasat mengikut beberapa seksyen undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.40 pagi ketika anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Serampang.
Sebelum itu katanya, polis mengesan sebuah Proton Persona berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dengan nombor pendaftaran ditutup pelekat hitam.
Bagaimanapun, pemandu terbabit enggan memberi kerjasama dan bertindak memecut laju bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
"Suspek memandu secara berbahaya dengan bergerak dalam keadaan zig-zag dan memasuki laluan bertentangan, sekali gus bahayakan pengguna jalan raya lain.
"Polis mengejar Proton Pesona itu sehingga ke daerah Kota Tinggi sebelum berjaya dipintas dan menahan kenderaan terbabit di hadapan IPD Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan pada petang Rabu.
Menurut Raub, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berusia 26 tahun itu bekerja sebagai buruh dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan lanjut juga mendapati pemandu memiliki rekod jenayah berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik, manakala penumpang tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.
Raub berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14(1) akta sama kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran, serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah," jelasnya. -Sinar Harian
#IPD Kota Tinggi #penyalahgunaan dadah #dikejar hampir 40 kilometer #Jalan Serampang
;