Dua lelaki ditahan polis rompak dan rogol gadis 17 tahun

Rohana Wahed
Mei 20, 2018 21:09 MYT
Penahanan suspek pertama itu ekoran penemuan dokumen pengenalan diri suspek di lokasi kejadian. - Gambar hiasan
Polis Sarawak menahan dua lelaki secara berasingan selepas mereka memecah masuk sebuah kuarters pekerja lalu merogol seorang wanita di Kenyalang Park, Kuching.
Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai memberitahu, suspek pertama yang berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Manggris pada hari sama.
Menurutnya, penahanan suspek pertama itu ekoran penemuan dokumen pengenalan diri suspek di lokasi kejadian.
"Susulan penangkapan suspek pertama, polis kemudian berjaya menahan rakannya di sebuah rumah di Lorong Stapok 20 dekat sini kira-kira pukul 3.50 petang semalam.
"Kedua-dua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.
Soon Kuai memberitahu, dalam kejadian pada jam 1.30 petang Rabu lalu, kedua-dua suspek dipercayai memecah masuk kuarters pekerja terbabit dengan tujuan merompak.
Katanya, sebaik sahaja memecah pintu bilik mangsa, suspek telah merampas barang peribadinya iaitu dompet dan telefon bimbit manakala seorang lagi suspek mengacu pisau ke leher wanita berusia 17 tahun itu sambil memaksanya melakukan seks.
"Tidak lama kemudian, teman serumah mangsa tiba-tiba datang dan terserempak dengan suspek yang sedang melakukan jenayah terbabit, lalu berlaku pergelutan.
"Semasa kedua-duanya cuba melarikan diri, dokumen peribadi salah seorang daripada suspek ini telah tercicir dan berjaya diperoleh mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
#Cuba #Dennis Leong Soon Kuai #Hospital #jenayah #Kuching #mangsa #polis #Polis Sarawak #rogol #seks #siasatan #suspek #wanita
;