Dua lelaki ditahan menyamar sebagai anggota polis trafik

Bernama
Januari 6, 2016 08:28 MYT
Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, dua lelaki berusia 38 tahun terbabit ditahan ketika sedang mengiringi tiga buah kenderaan mewah dipercayai milik orang kenamaan. - Gambar fail
Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis trafik bagi menjalankan kegiatan mengiringi kenderaan dengan mengenakan bayaran, ditahan polis di Jalan Bukit Bintang di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, dua lelaki berusia 38 tahun terbabit ditahan ketika sedang mengiringi tiga buah kenderaan mewah dipercayai milik orang kenamaan.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan berkata kedua-dua suspek itu menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBX 750, yang menyerupai motosikal milik anggota polis trafik.
"Mereka ini menjalankan tugas seperti anggota polis trafik dengan meminta pengguna jalan raya memberi laluan kepada mereka.
"Suspek turut memakai jaket dan topi keledar yang sama digunakan oleh anggota polis trafik," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.
Markandan berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan itu dengan menerima bayaran daripada pihak tertentu.
"Kedua-dua suspek ini bekerja sendiri dan kegiatan ini dilakukan sebagai kegiatan sampingan mereka," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek membeli motosikal polis trafik yang telah dilelong daripada pihak ketiga dengan harga RM9,000 sebuah.
"Mereka menggunakan motosikal sama seperti digunakan anggota trafik. Ini salah di sisi undang-undang, kita akan soal siasat mereka," katanya, sambil menambah pihaknya masih menyiasat sejak bila kedua-dua suspek menjalankan kegiatan itu.
Markandan berkata pihaknya percaya ada individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
#Jalan Bukit Bintang #menyamar #polis trafik
;