Dua lelaki ditahan kes halang ambulans

Bernama
Mac 25, 2022 23:07 MYT
Hasil semakan ke atas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 53 dan 30 tahun itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki menghalang laluan ambulans yang sedang membawa pesakit ke hospital semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira pukul 4 petang tadi.
Katanya mereka ditahan susulan rakaman video di Facebook yang tular menunjukkan ambulans dihalang sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih dan motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru selain aduan diterima Balai Polis Klang daripada pemandu ambulans berkenaan.
Cha berkata hasil semakan ke atas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 53 dan 30 tahun itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Pihak polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek esok di Mahkamah Klang, dekat sini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Cha berkata berdasarkan aduan yang diterima daripada pemandu ambulans tersebut pada 2.23 petang semalam, pengadu yang sedang membawa seorang pesakit dialisis menghala ke Hospital Sri Kota, Klang telah dihalang oleh pemandu Toyata Hiace yang memandu secara rapat dari arah belakang ambulans.
"Pengadu telah menegur pemandu van tersebut dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki menaiki sebuah motosikal telah berhentikan motosikalnya di hadapan ambulans yang dipandu oleh pengadu dan menghalang pergerakan pengadu.
"Lelaki itu telah turun dari motosikalnya dan menghampiri pintu bahagian pemandu dan mengarahkan pengadu untuk turun dari ambulans. Pengadu terus mengundurkan ambulans bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata pada masa sama van yang mengekori ambulans itu sebelum ini telah berhenti di tepi ambulans dan pengadu terus mengelak kedua-dua kenderaan dan meneruskan perjalanan ke hospital.
Kes di siasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan(KK) bagi kesalahan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam dan di bawah Seksyen 341 KK untuk kesalahan halangan salah.
-- BERNAMA
#halang ambulans #Tular #polis tahan suspek #penunggang motosikal
;