Dua lelaki ditahan kerana merayau, bawa bersama paket dipercayai dadah

Adie Sufian Zulkefli
April 26, 2020 13:57 MYT
Polis turut menemui beberapa paket lutsinar berisi serbuk ketulan kecil disyaki dadah jenis syabu daripada suspek. - Gambar PDRM
Sudahlah merayau tanpa arah tujuan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua lelaki akhirnya ditahan oleh polis dalam dua kejadian berasingan kerana turut memiliki sejumlah dadah bersama mereka.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu, sepasukan anggota Unit Peronda MPV yantg sedang melakukan rondaan dalam Op COVID menemui seorang suspek sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Ambangan Heights, Sungai Petani.
Sebaik anggota menghampiri, supek cuba melarikan diri.
Sebaik pemeriksaan dilakukan, jelas Adzli, anggotanya menemui tujuh paket lutsinar berisi serbuk ketulan kecil disyaki dadah jenis syabu seberat 3.28 gram di dalam sebuah beg hitam yang dibawanya.
Seementara dalam tangkapan berasingan, seorang lagi lelaki ditahan ketika berjalan di kawasan yang sama tidak jauh daripada lokasi tangkapan pertama.
Dalam pemeriksaan dilakukan anggotanya menemui tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan kecil disyaki dadah jenis syabu seberat 1.78 gram di dalam genggaman tangan kanan suspek.
Katanya, sebaik disoal, kedua-dua suspek gagal memberikan penerangan munasabah melakukan pergerakan meninggalkan alamat kediaman.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 27 dan 29 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan suspek juga ditahan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
#Adzli Abu #Dadah #ingkar PKP #paket lutsinar #Sungai Petani #Syabu
;