Dua lelaki ditahan dalam Op Taring Wawasan di Kelantan

Bernama
September 6, 2024 23:35 MYT
Nik Ros Azhan berkata kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut. - Gambar FB Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga
KOTA BHARU: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan seorang lelaki dan merampas 190 anak pokok keladi dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram dekat Jeram Perdah, Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lelaki berusia 52 tahun berperanan sebagai penghantar barangan itu ditahan oleh sepasukan anggota yang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan pada 12.30 tengah hari.
"Anggota PGA8 yang melakukan rondaan ternampak sebuah kereta jenis Proton Exora dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan 190 anak pokok keladi dianggarkan bernilai RM9,500," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Seksyen 17 Peraturan Kuarantin Tumbuh-tumbuhan 1981.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata dalam operasi pada 2.50 petang hari sama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas 14 kotak mengandungi barangan runcit serta minuman keras bernilai RM7,000.
"Suspek yang mengaku sebagai penghantar barangan serta barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983," katanya.
-- BERNAMA
#minuman keras #Pasukan Gerakan Am #barangan runcit #Op Taring Wawasan
;