Dua lelaki ditahan bantu siasatan penyeludupan warga Myanmar

Bernama
Oktober 18, 2024 22:12 MYT
Dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
KUANTAN: Polis menahan dua lelaki di Lipis bagi membantu siasatan kes penyeludupan warga Myanmar menerusi Op Pencegahan Jenayah Bersepadu semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata dalam operasi yang bermula kira-kira 4 petang itu, pihaknya telah memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki berumur 25 tahun di Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati ada lima warga Myanmar di dalam kenderaan berkenaan dengan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Menerusi operasi sama di lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran persimpangan Aur Gading, Padang Tengku pula beliau berkata pihaknya telah melihat sebuah kereta jenis Honda Accord berhenti di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu dipandu lelaki tempatan berumur 49 tahun bersama empat penumpang warga Myanmar masing-masing dua lelaki dan wanita dengan mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Ismail berkata dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Beliau berkata sembilan warga Myanmar berusia antara 12 dan 37 tahun pula ditahan mengikut Seksyen (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah.
-- BERNAMA
#dua lelaki ditahan #polis #penyeludupan #warga myanmar #lipis
;