Dua lelaki ditahan bantu kes penemuan mayat terikat, muka diserkup
Muhafandi Muhamad
Mei 17, 2022 17:52 MYT
Mei 17, 2022 17:52 MYT
KOTA BHARU: Dua lelaki berusia 20an hingga 30an ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan mayat dengan tangan terikat dan muka diserkup dengan kain di Sungai Golok berdekatan Kampung Simpangan, Tumpat, 6 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di sekitar Tumpat kelmarin.
"Pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki tempatan yang kita percayai boleh membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat itu.
"Kita juga masih memburu dua lagi suspek yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat berkenaan," katanya di sidang media mengumumkan rampasan pil yaba di Ibupejabat Kontinjen Polis Kelantan di sini pagi tadi.
"Kita juga masih menyiasat motif kejadian namun kedua-dua yang kita tahan itu mengenali mangsa," jelasnya.
Pada 6 Mei lalu, media melaporkan penemuan mayat lelaki dengan tangan, kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain ditemukan di tebing Sungai Golok.
Mayat berkenaan ditemukan oleh orang awam.
Mayat berkenaan dipercayai berusia lingkungan 30-40an ditemukan dalam keadaan terlungkup di kawasan berkenaan.
Sementara itu, operasi mengesan seorang kakitangan Jabatan Imigresen Kelantan yang hilang masih diteruskan petang ini.
Operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan hampir 50 orang anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan lain lain.
Semalam media melaporkan penjawat awam yang berusia 46 tahun bertindak terjun ke Sungai Kelantan dari atas jambatan Sultan Yahya Petra di sini.
Muhammad Zaki pada masa sama menafikan tindakan yang dilakukan mangsa disebabkan tekanan tugas.
Mangsa meninggalkan motosikalnya di atas jambatan itu sebelum bertindak terjun ke dalam sungai.