Dua lelaki ditahan baling mercun di sekatan jalan raya
Bernama
Mei 19, 2021 05:36 MYT
Mei 19, 2021 05:36 MYT
KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan selepas bertindak membaling mercun ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Lebuh Raya Karak, dekat sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe dalam kenyataan berkata sebelum kejadian pada kira-kira 10.30 malam itu, anggota polis ternampak kedua-dua suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan dan berhenti di tepi jalan berhampiran sekatan jalan raya, yang diadakan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong, Pahang.
"Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak membakar serta membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya dan terus melarikan diri.
"Polis kemudian mengejar dan menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari sekatan jalan raya. Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu paket plastik lut sinar yang mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api," katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya selain 14 biji mercun bola dan pemetik api, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan dua topi keledar.
Kedua-dua suspek didapati negatif ujian saringan air kencing dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Arifai berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan tahan reman tiga hari hari mulai hari ini (Rabu) hingga 21 Mei (Jumaat) untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
#suspek
#Sekatan Jalan Raya
#polis
#mahkamah
#mercun
#jenayah
#plastik lut sinar
#mercun bola
#pemetik api
#motosikal
#topi keledar
#reman
#Arifai Tarawe
#Gombak
#Jalan Lebuh Raya Karak
#Plaza Tol Gombak
#mahkamah majistret selayang