Dua lelaki ditahan acu senapang patah dan parang
Munirah Mudzamli
Julai 6, 2021 19:43 MYT
Julai 6, 2021 19:43 MYT
KUCHING: Dua lelaki ditahan bersama selaras senapang patah dan sebilah parang selepas video mereka mengacukan senjata itu tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Dato Muhd Musa di Kota Samarahan pada 5 Julai lalu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku bahawa mereka adalah individu yang tular dalam laman sosial Facebook itu.
"Susulan itu, polis turut berjaya merampas senjata berupa selaras senapang patah jenis Winchester 12 Bore dan sebilah parang," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Tambah Ahsmon, siasatan juga mendapati, punca kejadian adalah disebabkan masalah peribadi dan hutang suspek dengan bekas majikannya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
"Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjaya Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun dan sebat," tegasnya.
Sementara itu, beliau juga memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap pemilik senjata api tersebut yang dikatakan berada di luar daerah Kuching.
#Lelaki ditahan
#senapang patah
#parang
#Ketua Polis Daerah Kuching
#ACP Ahsmon Bajah
#masalah hutang