Dua lelaki disyaki along ditahan polis

Bernama
September 12, 2024 00:22 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kedua-dua lelaki itu telah diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis yang menerima maklumat pada 1.10 tengah hari. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Dua lelaki ditahan di Taman Rima Gamelan, Bercham di sini semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kedua-dua lelaki itu telah diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis yang menerima maklumat pada 1.10 tengah hari.
"Empat bungkusan plastik mengandungi cecair berwarna merah disyaki cat serta 17 helaian kertas putih bertulisan butiran peminjam yang gagal membuat bayaran serta tiga telefon bimbit telah dirampas .
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah membaling cat dan menampal notis di sebuah rumah dipercayai gagal membuat bayaran balik pinjaman yang dibuat secara atas talian," katanya dalam kenyataan malam ini.
Azizi berkata pemilik rumah tersebut menyedari kehadiran suspek dan bertindak mengejar dua lelaki itu yang memandu kereta hingga ke Jalan Lebuh Bercham Timur dan telah terbabas di kawasan tersebut sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
Beliau berkata kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan berjaya ditahan dengan bantuan orang awam seterusnya diserahkan kepada polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#along #ditahan #polis perak #pinjaman wang tanpa lesen
;