Dua lelaki diselamatkan, terperangkap arus deras kepala air
Aida Aziz
Mei 6, 2024 09:30 MYT
Mei 6, 2024 09:30 MYT
MUALLIM: Dua lelaki terselamat setelah terperangkap di seberang sungai susulan arus deras kejadian kepala air yang berlaku di Loji Air Sungai Dara, di sini, malam tadi.
Difahamkan ketika kejadian, mereka sedang melakukan aktiviti memancing di kawasan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan mangsa yang masing- masing berusia 31 dan 40 tahun itu pada jam 8.51 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim kemudian ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat dua mangsa yang terperangkap di seberang sungai, mereka tidak mengalami kecederaan.
"Komander operasi mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan menggunakan tali dan mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan selamat.
"Setelah itu mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Operasi yang membabitkan lapan anggota itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Azizul Rahman Ahmad @Ahmad Bizayan dan selesai jam 10.05 malam.
#kepala air
#Loji Air Sungai Dara
#Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim
#dua lelaki terperangkap