Dua lelaki didenda RM2,000 buat laporan palsu diragut
Abd Razak Mohd Ali
April 19, 2021 12:39 MYT
April 19, 2021 12:39 MYT
SUNGAI SIPUT: Dua lelaki, masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.
Dalam laporan itu, mereka mengaku kononnya diragut, mengakibatkan kehilangan kad pengenalan dan beg dompet, minggu lalu.
B. Prasad Kumar, 33 tahun, dan R Kumaran, 41 tahun, membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Prasad Kumar yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa dengan sengaja memberi maklumat bertulis yang diketahui sebagai palsu kepada seorang pegawai penyiasat polis di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada jam lebih kurang 2.40 pagi, 10 April lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat laporan mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal di hadapan Dewan Konvensyen Taman Tun Sambanthan, di sini.
Tertuduh mengaku kehilangan telefon bimbit, lesen memandu dan kad pengenalan dalam kejadian yang sebenarnya tidak berlaku, dengan alasan takut dikenakan denda yang tinggi semasa mendapatkan gantian kad pengenalan baharu.
Kumaran pula dituduh membuat laporan palsu kepada seorang pegawai penyiasat polis yang lain di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Sungai Siput pada jam lebih kurang 12 tengah hari, 8 April lalu.
Tertuduh mendakwa kehilangan beg dompet akibat diragut dua individu bermotosikal di Jalan Besar Dovenby, di sini.
Tertuduh membuat laporan palsu itu bertujuan memberitahu peminjam wang (along) bahawa dia tidak dapat membayar hutang kerana wang yang disediakan telah diragut.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
#mahkamah
#jenayah
#polis
#penjara
#Mahkamah Majistret
#laporan polis
#palsu
#ragut
#dompet
#pemandu lori
#IPD Sungai Siput
#pinjaman
#along