Dua lelaki didakwa atur perolehan harta untuk IS

Bernama
Ogos 27, 2015 17:39 MYT
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan membabitkan diri dalam mengatur bagi memperoleh harta untuk kegiatan keganasan. - Gambar Astro AWANI
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan membabitkan diri dalam mengatur bagi memperoleh harta untuk kegiatan keganasan.
Mohamad Fauzi Misrak, 35, yang bekerja sebagai 'chef' di Singapura dan perunding kewangan, Rohaimi Abd Rahim, 38, didakwa bersama-sama melibatkan diri dalam satu pengaturan yang memudahkan perolehan harta bagi kumpulan militan IS dengan mengendalikan akaun Maybank milik Mohamad Fauzi untuk tujuan keganasan.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad cawangan Subang Jaya di Jalan SS15/4D, dekat sini antara Disember 2013 dan Julai 2014.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130 P Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati jika perbuatan itu menyebabkan kematian.
Jika tidak melibatkan kematian, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mohamad Fauzi dan Rohaimi, yang kelihatan tenang semasa prosiding kes itu, hanya berkata 'faham' selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 2 di sini untuk dibicara bersama dengan satu kes lain yang dihadapi kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 130G(c) Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 2.
Bagaimanapun, tarikh sebutan kes belum ditetapkan oleh mahkamah.
Pada 11 Nov 2014, Rohaimi didakwa atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan militan IS melalui blog Revolusi Islam.com manakala Mohamad Fauzi didakwa bersubahat bersama Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan.
#aktiviti keganasan #Mohamad Fauzi Misrak #Rohaimi Abd Rahim
;