Dua lelaki diburu kes rompak jongkong emas RM5.9 juta

Bernama
Oktober 17, 2024 19:40 MYT
Hussien berkata polis telah menahan lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun antara 8 hingga 14 Okt lepas. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun berkawan dan bersenjata melibatkan jongkong emas milik sebuah syarikat di Kompleks Industri Puchong, dekat sini pada 13 September lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-duanya berusia 28 dan 35 tahun manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerusi talian 03-8074 2222 bagi membantu siasatan.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia telah datang ke lokasi kejadian dan menyamun jongkong emas seberat 16.9 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta.
"Ketika itu dua individu berada di tempat kejadian dengan seorang daripadanya memukul dan mengacu parang kepada mangsa, manakala seorang lagi mengambil beg berisi jongkong emas yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan syarikat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hussien berkata polis kemudian menggerakkan usaha memburu suspek dan berjaya memberkas lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun antara 8 hingga 14 Okt lepas.
Beliau berkata polis turut merampas kereta jenis Volkswagen Passat dan Perodua Axia, sejumlah peralatan samun, barang kemas serta wang tunai disyaki hasil samun.
"Siasatan mendapati suspek telah menjual sebahagian daripada jongkong emas itu dan menggunakan wang hasil jualan bagi membeli beberapa kenderaan mewah terpakai bernilai ratusan ribu ringgit secara tunai.
"Dua suspek telah dituduh hari ini di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, empat akan dituduh pada esok (Jumaat), manakala seorang lagi akan diikat bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan," katanya.
-- BERNAMA
#kes samun #rompak jongkong emas #Polis Selangor #Hussein Omar Khan
;