Dua lelaki diberkas ketika urus niaga 54kg ganja tepi jalan

Sinar Harian
Julai 18, 2024 07:15 MYT
Anbalagan (kiri) menunjukkan ganja yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Khamis.
SERDANG: Seorang pemandu peribadi dan pekerja kedai makan diberkas kerana disyaki mengedar 51 ketulan mampat ganja bernilai RM168,020.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun itu yang menaiki Perodua Bezza ditahan ketika mereka sedang 'urus niaga' di tepi jalan di Bandar Kinrara, di sini, pada jam 10.15 malam, 10 Julai lalu.
"Kita merampas tiga kotak yang berisi 51 ketulan mampat dadah ganja seberat 54 kilogram," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, pada Khamis.
Anbalagan berkata, kedua-dua kenalan itu aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang sejak Januari lalu.
"Hasil siasatan, dadah itu disyaki diperolehi dari negara jiran, kedua-kedua suspek itu berperanan sebagai pembekal dan 'runner'.
"Hasil soal siasat mendapati 'runner' itu menerima upah sebanyak RM500 untuk sekali penghantaran," katanya.
Beliau berkata, hasil saringan mendapati hanya seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Semakan mendapati hanya pekerja kedai makan itu mempunyai tujuh rekod berkaitan kes dadah," katanya.
Anbalagan berkata, dadah yang dirampas itu disyaki dapat menampung pengunaan seramai 108,438 penagih.
"Kedua-dua suspek itu ditahan reman tujuh hari dan telah disambung reman lima hari lagi sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Berbahaya 1952," katanya. - Sinar Harian
#pengedar dadah #edar dadah tepi jalan #AA Anbalagan #sindiket dadah