Dua lelaki cedera, kereta terbabas, terbakar
Aida Aziz
April 12, 2024 11:15 MYT
April 12, 2024 11:15 MYT
KAMPAR: Dua lelaki cedera setelah kereta jenis Mazda CX30 yang dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Malim Nawar Kampung Jeram, berhampiran Balai Polis Kuala Dipang, di sini hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 3.47 pagi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bergegas ke lokasi dan mendapati kereta yang dinaiki mangsa musnah 90 peratus.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa itu berjaya keluar dari kereta sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya lagi, komander operasi kemudian membuat 'size-up' dan mengarahkan anggota memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hose reel sehingga api padam sepenuhnya.
Setelah itu, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK II TBK Kamal Adnan Musa dengan kekuatan seramai enam orang anggota itu itu tamat pada 4.30 pagi.