Dua lagi suspek kes tembak anggota PGA ditahan di sempadan - KPN

Shuhada Abdul Kadir
November 25, 2020 16:33 MYT
Seorang anggota PGA menunjukkan lokasi kejadian tembak-menembak membabitkan penyeludup dan anggota pasukan itu. -Gambar fail
JEMPOL: Dua lagi suspek warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan mengorbankan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand semalam, berjaya ditahan pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kedua-dua suspek ditahan berhampiran lokasi kejadian oleh pasukan keselamatan itu yang sedang membuat operasi lanjutan bagi mengesan saki-baki penyeludup terlibat.
"Dua lagi tangkapan warga Thailand dibuat pagi ini, yang kami yakin tidak sempat melarikan diri (semalam)... oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan.
"Jadi ketika kita melakukan proses 'sweeping' di ladang dan belukar di kawasan itu, kita temui dua orang ini. Mereka sudah ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri upacara pengebumian Koperal Baharuddin Ramli, 54, di Tanah Perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sampo di Jempol, Negeri Sembilan hari ini.
Terdahulu, upacara pengebumian yang dilaksanakan dengan mengikut istiadat polis di kampung halaman mendian Baharuddin itu selesai kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Selain Abdul Hamid, hadir sama memberi penghormatan terakhir adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof.
BACA: Dua anggota PGA yang ditembak dinaikkan pangkat sarjan - KPN
BACA: Anggota PGA maut ditembak: 18 individu direman empat hingga tujuh hari
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan membuat permohonan rasmi kepada Polis Diraja Thailand bagi membolehkan empat suspek yang ditahan di negara itu diserahkan kepada Malaysia untuk disiasat di negara ini.
Dalam kejadian pada awal pagi semalam, mendiang Koperal Baharuddin yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand terkorban akibat ditembak kumpulan penyeludup.
Rakannya, Norihan Tari, 39, pula mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.
Sehingga ini, 18 lelaki termasuk tiga warga Thailand direman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini di Kangar bagi membantu siasatan kejadian itu.
#PGA #tembak #terkorban #penyeludup #ketum #sempadan #maaysia-thailand #dua lagi suspek ditahan #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador
;