Dua lagi mayat mangsa bot tunda ditemui
Bernama
November 2, 2014 23:35 MYT
November 2, 2014 23:35 MYT
Dua mayat dipercayai daripada enam krew termasuk seorang warga tempatan yang hilang selepas bot tunda jenis YTC M5 dinaiki mereka dilanggar sebuah kapal dagang kira-kira 9.2 batu nautika dari Tanjung Gelang, Khamis lalu ditemui hari ini.
Mayat pertama yang belum dikenal pasti identitinya ditemui nelayan pada 7.30 pagi di kawasan kira-kira 11 batu nautika dari Tanjung Gelang dekat sini sebelum diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia dan dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM).
Komander Polis Marin Wilayah 3 ACP Azmi Ibrahim berkata mayat kedua pula ditemui 10 pagi tadi di 11.5 batu nautika dari Tanjung Gelang, iaitu kira-kira dua batu nautika dari lokasi kejadian oleh anggota bot ronda PA52 Polis Marin.
Katanya mayat warga Indonesia yang dikenali sebagai Ewan, 26, ditemui terapung lengkap berpakaian dan dibawa ke jeti Tanjung Lalang di sini.
Azmi berkata Martin Sembiring, 30, mangsa yang terselamat dalam kejadian itu turut dibawa ke lokasi bagi mengenal pasti lokasi kejadian dan membuat pengecaman ke atas mayat yang ditemui.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Azmi berkata operasi diteruskan bagi mencari tiga lagi mangsa dengan kekuatan dua pegawai dan 22 anggota termasuk pasukan penyelam.
"Operasi pencarian yang memasuki hari keempat telah melakukan pencarian pada jarak 32 batu nautika dari pantai dan sebanyak enam selaman dilakukan di lokasi kejadian bagi mencari bangkai bot," katanya.
Semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang krew bot itu kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian pada 1.40 tengah hari.