Dua lagi mayat bot karam Tanjung Balau dijumpai, jumlah keseluruhan 18
Muhammad Aiman Hakeem
Disember 16, 2021 11:08 MYT
Disember 16, 2021 11:08 MYT
KOTA TINGGI: Pasukan mencari dan menyelamat tragedi bot pancung terbalik di Tanjung Balau semalam menemukan dua lagi mayat kira-kira jam 10 pagi tadi.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, kedua-dua mayat lelaki itu ditemui pada jam 10 pagi, berhampiran lokasi kejadian.
"Mayat pertama ditemui pada jarak 100 meter dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC), manakala mayat kedua pula ditemui 280 meter dari PHC.
"Setakat jam 10 pagi, kesemua mayat yang ditemui hari ini adalah seramai tujuh orang, melibatkan lima lelaki dan dua wanita.
"Pencarian mangsa masih diteruskan dan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor akan terus menyalurkan maklumat terkini berkaitan operasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, jumlah keseluruhan mayat terkumpul setakat ini adalah sebanyak 18 orang, terdiri 12 lelaki dan enam wanita.