Dua lagi kluster diisytihar tamat di Sabah
Bernama
Mac 18, 2022 23:46 MYT
Mac 18, 2022 23:46 MYT
KOTA KINABALU: Dua lagi kluster diisytihar tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Apas Batu Lima, Tawau dan Kluster Loboh Nabawan di Nabawan menjadikan 19 kluster yang masih aktif di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kluster di negeri ini semakin berkurangan apabila tiada kluster baharu dicatatkan sejak Isnin lepas.
"Kes-kes jangkitan baharu juga menurun di 21 daripada 27 daerah di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort dan Putatan yang merekodkan penyusutan kes baharu," katanya dalam kenyataan malam ini.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata 596 kes baharu direkodkan hari ini dengan tujuh kes adalah daripada kluster sedia ada iaitu Kluster Jalan Tambalang.
Beliau berkata 581 atau 97.48 peratus daripada kes baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, lima kes kategori tiga, 10 kes kategori empat manakala tiada kes baharu direkodkan bagi kategori lima.
-- BERNAMA