Dua lagi kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
September 22, 2020 09:37 MYT
Kes ke-702 melibatkan seorang warga tempatan yang berasal dari Serian dan bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kuching. - Foto Astro AWANI
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan dua kes positif COVID-19 terbaharu membabitkan daerah Kuching dan Bintulu.
Ini menjadikan jumlah terkini kes positif di negeri itu meningkat kepada 703 kes.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, kes ke-702 melibatkan seorang warga tempatan yang berasal dari Serian dan bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kuching.
“Kes dikesan positif menerusi ujian saringan COVID-19 semasa mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching pada 21 September 2020.
“Kes mula mengalami gejala batuk pada 18 September 2020 dan kini kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada hari yang sama untuk rawatan lanjut,” kata kenyataan itu.
Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan memandangkan kes tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau negeri lain di Malaysia dan siasatan lanjut serta aktiviti pengesanan kontak kepada kes ini sedang dijalankan.
Seterusnya kes ke-703 merupakan kes import melibatkan seorang lelaki warganegara Indonesia yang masuk ke Sarawak untuk bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Bintulu.
Kes tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dari Jakarta, Indonesia pada 12 September 2020 dan setibanya di KLIA2, kes telah menjalani saringan COVID-19 menggunakan RTK Antigen dan keputusan adalah negatif.
“Kes kemudian meneruskan penerbangan dari KLIA2 ke Bintulu pada hari sama dan setibanya di Lapangan Terbang Bintulu, kes telah dibawa terus ke pusat kuarantin hotel di Bintulu untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
“Kes juga menjalani ujian saringan menggunakan ujian rT-PCR pada 12 September 2020 dan keputusan ujian saringan juga didapati negatif COVID-19 pada 13 September 2020. Kes hanya disahkan positif selepas menjalani ujian saringan hari ke-10 pada 21 September 2020,” tambah kenyataan itu.
Justeru kes terbabit telah dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak rapat juga sedang giat dilakukan.
#Bintulu #COVID-19 #Hospital Bintulu #Hospital Umum Sarawak #Indonesia #Jakarta #JPBN Sarawak #Kuching #rT-PCR #RTK Antigen #Sarawak