Dua lagi kes baharu COVID-19 dikesan, sidang Dewan Rakyat ditangguh, disambung Isnin

Ridauddin Daud
Julai 29, 2021 09:35 MYT
Menurut Mohd Rashid, keputusan ujian saringan COVID-19 itu menjadikan jumlah jangkitan baharu di bangunan Parlimen pada Khamis adalah sebanyak empat kes. - Bernama
KUALA LUMPUR: Selepas tiga kali ditangguhkan, Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis ditangguhkan sekali lagi dan disambung semula pada Isnin.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon berkata, keputusan itu dibuat selepas dua lagi kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen selepas ujian saringan RTK AG Saliva dijalankan pada petang Khamis.
Menurutnya, keputusan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif pada hari ini adalah sebanyak empat kes.
“Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, hasil daripada ujian saringan RTK AG Saliva yang masih sedang dijalankan, didapati dua lagi kes positif baharu telah dikesan.
“Peringkat seterusnya adalah penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kepada ahli-ahli Yang Berhormat dan pegawai Parlimen yang berada di Kompleks Parlimen pada hari Isnin, Selasa dan Rabu tapi tidak hadir pada hari ini…
“Anda disarankan untuk menjalani ujian saringan di klinik berdekatan dengan segera. Jumlahnya empat orang setakat ini yang telah dijangkiti COVID-19.
“Selaras dengan itu, dengan Peraturan 12 (2), sekarang saya menyimpulkan (menamatkan) mesyuarat pada 5.30 petang…," ujar Mohd Rashid.
Belum sempat beliau menghabiskan kenyataan, keadaan di dalam dewan kecoh apabila Ahli Parlimen terutamanya daripada blok pembangkang mendesak sidang diteruskan.
Begitupun, Mohd Rashid terus membacakan kenyataan beliau dan terus bangun selepas selesai mengumumkan perkara tersebut.
Ahli Parlimen dari blok pembangkang pula dilihat terus membantah keputusan tersebut sehinggalah masing-masing mula keluar dari dewan.
#COVID-19 #Dewan Rakyat #kes positif #Parlimen #ujian saringan #RTK AG Saliva #Timbalan Speaker #Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon #perbahasan #persidangan