Dua lagi ditahan bantu siasatan kes pekerja cuci kereta maut

Sinar Harian
Ogos 17, 2024 16:20 MYT
Dua lokasi kejadian di mana mangsa dikatakan diserang lima lelaki bersenjatakan parang. -Gambar fail/Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Dua lagi lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes serangan terhadap seorang pekerja cuci kereta dan pengawal keselamatan di Bedong pada Khamis yang menyebabkan salah seorang maut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar kawasan Bedong pada Jumaat untuk membantu siasatan.
Katanya, mereka direman empat hari hingga 20 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Penahanan kedua-dua lelaki berkenaan menjadikan keseluruhan suspek yang ditahan berkaitan kejadian terbabit adalah 10 orang.
"Siasatan awal juga mendapati, kejadian terbabit bermotifkan dendam, bagaimana pun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya ketika ditemui pada Program Townhall Discussion Kontinjen Kedah, di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.
Mengulas lanjut Wan Azharuddin berkata, pengawal keselamatan yang cedera akibat ditetak dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berada dalam keadaan stabil.
Pada awal pagi Khamis, seorang pekerja cuci kereta maut dan seorang pengawal keselamatan parah dalam kejadian di Bedong selepas dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang.
Kejadian berlaku di dua lokasi berasingan di mana kejadian awal berlaku di sebuah tapak kosong simpang masuk ke Kampung Sungai Toh Pawang.
Berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia 20-an hingga 30-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian
#pekerja cuci kereta #pengawal keselamatan #Bedong #kes serangan