Dua ladang dikesan positif penyakit demam babi Afrika
Bernama
September 27, 2022 11:15 MYT
September 27, 2022 11:15 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pulau Pinang mempergiatkan pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial dan rumah sembelih, susulan pengesahan kejadian penyakit demam babi Afrika (ASF) di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak.
Dalam satu kenyataan, DVS Pulau Pinang memaklumkan pihaknya turut mengenal pasti lori pengangkut babi dari negeri ini yang telah mengangkut babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF itu untuk disekat pergerakannya.
Seterusnya, jabatan itu mengarahkan lori berkenaan untuk menjalani proses disinfeksi serta menyekat pengeluaran babi dari kesemua ladang babi yang telah mengangkut babi menggunakan lori haiwan itu.
Selain itu, DVS Pulau Pinang juga mengeluarkan surat peringatan kedua kepada penternak untuk mengetatkan kawalan biosekuriti di ladang serta menjalankan disinfeksi ke atas semua kenderaan yang masuk dan keluar dari ladang.
"Pihak kami juga akan menjalankan pemeriksaan dari ladang ke ladang bagi memastikan penternak mematuhi arahan jabatan dan menjalankan kawalan biosekuriti di ladang," katanya.
Pihak DVS Pulau Pinang turut menasihatkan para penternak babi, doktor veterinar swasta, penyembelih, operator rumah sembelih, penangkap babi dan orang ramai untuk segera melaporkan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah jika terdapat sebarang kematian luar biasa, tanda klinikal disyaki penyakit berjangkit di ladang babi dan rumah sembelih; dan sebarang kematian babi hutan di kawasan sekitar.
-- BERNAMA