Dua kru melecur, kapal bawa muatan diesel terbakar di Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 3, 2021 17:52 MYT
Mei 3, 2021 17:52 MYT
GEORGE TOWN: Dua kru melecur teruk selepas kapal yang membawa muatan minyak diesel terbakar dalam kejadian di Harbour Trade Centre di Gat Lebuh Macallum, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 4 petang itu, kedua-dua mangsa yang berada di dalam kapal berkenaan berjaya diselamatkan namun dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap dua.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, setiba di lokasi, anggota mendapati sebuah kapal yang membawa muatan minyak diesel terbakar dan api sedang marak.
Operasi pemadaman melibatkan jentera bomba dari Balai Jalan Pantai dan dibantu pasukan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bagan Jermal, Bayan Baru serta pasukan bomba sukarela.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.44 petang.
Setakat ini, kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api masih dilakukan.
Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
#kapal muatan diesel
#terbakar
#dua kru melecur
#Harbour Trade Centre
#Gat Lebuh Macallum
#George Town
#pulau pinang