Dua konsortium disenarai pendek dalam Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh - Loke

Bernama
September 8, 2024 16:31 MYT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media di Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-20 di Ipoh Convention Centre (ICC) hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Pihak Perbadanan Keretapi (RAC) telah menyenarai pendek dua pembida bagi melaksanakan projek Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata RAC kini sedang menilai cadangan terbaik daripada kedua-dua pembida berkenaan, sebelum dapat menganugerahkan projek tersebut kepada pihak yang layak menjelang suku keempat tahun ini.
"Jadi RFP (Pemintaan Untuk Cadangan) itu telah berjalan lancar, ada dua syarikat konsortium yang memang konsortium besar dalam negara kita yang berminat membangunkan tanah RAC di belakang Stesen Ipoh, yang akan kita jenamakan semula sebagai Ipoh Sentral sebab pembangunan itu merangkumi pembangunan bersepadu.
"Kita mengharapkan ia menjadi satu pemangkin kepada pembangunan di bandar raya Ipoh kerana Stesen Ipoh itu merupakan satu stesen yang penting... jadi memang Stesen Ipoh menjadi sangat sibuk," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-20 di sini hari ini.
Beliau berkata baru-baru ini juga pihak RAC sedang membuat sedikit pengubahsuaian di stesen berkenaan, bagi memberi keselesaan kepada penumpang yang menunggu tren.
"Jadi ada satu tempat dah diubah suai untuk jadi tempat menunggu penumpang, itu buat sementara. Itu hanya ubah suai sahaja tetapi pembangunan lebih besar di belakang tanah tersebut kita nak bangunkan sebagai satu pembangunan bersepadu dikenali sebagai Ipoh Sentral," kata Loke.
Pada 9 Mac, media melaporkan Kementerian Pengangkutan telah membuka RFP bagi meneruskan projek iRide berasaskan konsep pembangunan berasaskan transit (TOD).
Loke ketika itu dilaporkan berkata RFP tersebut, hanya akan dibuka kepada penyertaan awam dalam jangka masa dua hingga tiga bulan sahaja, sebelum dinilai selepas ia tertangguh sebelum ini.
Sementara itu dalam isu berasingan, ditanya berkenaan dakwaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Ekspres mengambil masa dua jam 30 minit untuk dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Loke berkata perjalanan itu sepatutnya mengambil masa dua jam.
"Kadangkala dia (ETS) ada masalah teknikal, patutnya dalam masa dua jam. Saya akan tanya KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)) apa masalah dalam operasi itu," katanya.
-- BERNAMA
#Pihak Perbadanan Keretapi #Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh #Anthony Loke Siew Fook #iRide #bidaan #KTMB
;