Dua komet hiasi langit hingga bulan depan
Bernama
November 21, 2013 10:08 MYT
November 21, 2013 10:08 MYT
Orang ramai boleh melihat dua komet yang dijangka terus menghiasi ruang langit negara ini dari bulan November hingga bulan Disember, kata Agensi Angkasa Negara.
Komet C/2012 S1 (ISON) kini semakin menghampiri Matahari dan waktu yang terbaik untuk melihatnya pada esok sebelum subuh, kata agensi itu dalam kenyataannya di sini.
Komet itu akan berada paling dekat dengan Matahari pada 28 Nov.
Selain komet itu, terdapat sebuah lagi komet, C/2013 R1 (Lovejoy) yang agak terang dan kini boleh dilihat di langit pada waktu pagi.
Komet 'Lovejoy' itu ditemui oleh pencerap Australia, Terry Lovejoy pada 9 Sept dan kini bergerak mendekati Matahari pada 25 Dis.
Ia berada pada ketinggian yang baik untuk dicerap iaitu sekitar 35 hingga 45 darjah dari ufuk timur laut kira-kira sejam sebelum matahari terbit sehingga akhir bulan ini.
Mereka yang berminat, boleh menyertai Program Angkasa 'Talk-Meteor & Comet: Countdown for ISON' pada 23 Nov bermula jam 8.30 malam hingga 10 malam di Planetarium Negara.