Dua kisah wanita luar biasa diraikan bersama Dove
Ehsan A Marisah
Mac 21, 2022 12:40 MYT
Mac 21, 2022 12:40 MYT
KECANTIKAN seorang wanita adalah ketika dia menemukan kekuatan dalamannya.
Itu adalah mesej yang ingin disampaikan oleh jenama kecantikan dan kesihatan, Dove sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun menerusi kempen "KekuatanMu, KecantikanMu".
Kempen tersebut bertujuan mengangkat martabat wanita dengan menampilkan dua kisah wanita luar biasa mendepani cabaran kehidupan, seterusnya bangkit mengubah kehidupan menjadi lebih positif.
Bagi peguam pelatih, Nur Ashiqeen, hidupnya menderita apabila ibu dan bapanya disahkan menghidap penyakit gangguan bipolar selama 10 tahun.
Katanya, ketika masih remaja, dia perlu menyeimbangkan tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapanya di rumah dan pada waktu yang sama perlu bertungkus-lumus belajar agar cita-citanya menjadi seorang peguam tercapai.
Perkara itu kadangkala membuatkannya sangat tertekan dengan kehidupan dan merasakan diri keseorangan sehingga mempersoalkan takdir hidupnya.
“Ada ketika saya berasa sedih, apa yang saya benar-benar rasakan adalah keseorangan. Kenapa saya mendapat ibu dan ayah macam ini?.
“Tapi saya tidak mahu mengubah mereka, saya tidak mahu ibu bapa selain daripada mereka.
"Saya satu-satunya peluang mereka dan saya akan memikul tanggungjawab ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia percaya perkara itu adalah aturan yang telah disusun dalam kehidupannya dan sebagai nikmat untuk mencari kekuatan diri untuk membalas jasa mereka.
Sementara itu, kisah menyayat hati pula dikongsikan Penolong Pengurus Solusi Media, Sharifah Khuraisha yang hampir berputus asa dalam kehidupan apabila perlu menggalas tanggungjawab menjadi ibu dan ayah kepada empat orang anak.
Ia susulan kerana dia terpisah lebih setahun dengan suaminya akibat terkandas di Singapura semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dan bertambah tragis apabila ketika itu dia sedang hamil kira-kira dua bulan.
Katanya, pada masa yang sama dia juga harus menyiapkan segala urusan kerja untuk memastikan kariernya terus terjamin serta dapat membantu suami membesarkan anak-anak.
“Setiap kali saya rasa nak berputus asa, saya bertanya pada diri saya sendiri. Siapa lagi nak menjaga mereka (anak-anak) kalau bukan saya.
“Pendorong saya dan semangat kekuatan adalah anak-anak saya. Merekalah yang memberikan kekuatan, segalanya akan saya lakukan untuk mereka. Mereka adalah nadi hidup saya,” ujarnya.
Melalui kempen Dove ini, ia membuktikan bahawa mereka berdua bukan sahaja wanita yang berkerjaya dan cekal malah memberi inspirasi kepada jutaan wanita untuk meneruskan kehidupan serta percaya kecantikan sebenar adalah ketika menemukan kekuatan dalaman.