Dua kereta masuk lubang tengah jalan, laluan ditutup

Sinar Harian
April 21, 2021 17:08 MYT
Masih ada pengguna degil atau tidak sedar laluan tersebut telah ditutup. Gambar kecil: Sebuah kereta yang terjatuh ke dalam lubang yang tular di laman sosial Facebook pada Rabu. - Foto Sinar Harian
TEMERLOH: Dua buah kereta termasuk ke dalam lubang di tengah jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab di sini pada Rabu.
Foto kejadian melibatkan kenderaan terbabit tular di laman sosial Facebook sekali gus mengundang kerisauan pengguna laluan tersebut khususnya.
Difahamkan laluan tersebut pernah dibaiki dan kejadian paip pecah di lokasi terbabit pernah terjadi sebelum ini.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati laluan tersebut telah ditutup kepada pengguna akibat paip utama yang pecah, namun masih ada pemandu kenderaan yang menggunakan laluan terbabit.
Dalam pada itu, masalah paip pecah itu telah mendapat perhatian Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) yang akan melakukan kerja-kerja penggantian dalam tempoh secepat mungkin.
Namun Paip turut memaklumkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan membabitkan 5,500 akaun bermula jam 8.30 pagi hingga 11 malam, Rabu berikutan paip utama jenis AC bersaiz 400 milimeter pecah di kawasan tersebut.
#jatuh lubang #kereta masuk lubang #Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Mentakab #Facebook #Pahang #temerloh #paip pecah #laman sosial
;