Dua kereta bertembung di Gopeng, seorang maut, dua cedera
Abd Razak Mohd Ali
Julai 14, 2021 13:21 MYT
Julai 14, 2021 13:21 MYT
GOPENG: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Kampar - Ipoh, Kampung Jeram, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Abd Rane Saed, 69 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.38 pagi.
Katanya, setibanya jentera ke lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Persona.
“Seorang mangsa, pemandu Perodua Myvi, meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua mangsa lagi mengalami kecederaan, iaitu pemandu Proton Persona dan isteri pemandu Myvi tersebut.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan selanjutnya.
Setakat ini, identiti dua mangsa yang cedera itu belum dikenal pasti.