Dua kenderaan rosak ‘ditelan’ tanah runtuh
Umavathi Ramayah
Oktober 12, 2024 21:08 MYT
Oktober 12, 2024 21:08 MYT
AMPANG JAYA: Dua buah kenderaan mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat di Taman Lembah Maju, di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.14 petang.
"Dua jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, didapati terdapat kejadian tanah runtuh berketinggian 10 meter.
“Tanah runtuh telah menyebabkan sebuah lori pikap dan sebuah kereta Proton Wira hampir terjatuh ke dalam tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis memberitahu, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.