Dua kenderaan bertembung, pemandu terputus sebelah tangan

Radhi Muslim
Februari 4, 2019 23:27 MYT
Gambar tangan pemandu itu yang jatuh di tengah jalan raya turut tular. - Sumber foto: media sosial
Seorang pemandu lelaki putus tangan kanan selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 66, Jalan Beluran-Telupid, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, lelaki berumur 33 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo itu dilaporkan cedera parah akibat kemalangan berkenaan.
Sebelum kejadian, pemandu itu sedang dalam perjalanan dari Sandakan ke Telupid.
Gambar kemalangan itu turut tular di laman sosial sejak petang tadi yang memaparkan pemandu itu terduduk menahan sakit tanpa tangan kanan di satu kawasan jalan raya yang kelihatan banyak lubang serta kerosakan.
Gambar tangan pemandu itu yang jatuh di tengah jalan raya turut tular.
Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Shivananthan Velautham berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu di jalan yang berselekoh, kereta dipandu lelaki itu masuk ke lorong bertentangan.
“Ia kemudian terlangar sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun yang datang dari Telupid.
“Akibat kejadian, pemandu pacuan empat roda putus tangan dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, siasatan terperinci berhubung kemalangan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Jalan Beluran #kemalangan #pacuan empat roda #Sandakan #Telupid #Toyota Hilux Vigo
;