Dua kematian akibat COVID-19 di Sarawak hari ini

Rudi Affendi Khalik
Mac 23, 2020 18:29 MYT
Setakat hari ini, sebanyak 212 kes terbaru dilaporkan dengan jumlah kes terkini sebanyak 1,518 di Malaysia.
Sarawak mencatatkan dua lagi kematian akibat COVID-19 dengan menjadikan jumlah keseluruhan lima orang setakat ini.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, mangsa terbaharu itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 49 tahun yang merupakan kes ke-1006 dan disahkan meninggal dunia hari ini.
Mangsa keempat ini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac dan disahkan positif COVID-19 pada 20 Mac sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau juga merupakan anak kepada mangsa kes ke-1031 yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu di Kuching.
Bagi kematian kedua melibatkan kes ke-595, seorang wanita warganegara Malaysia berusia 51 tahun.
Mangsa merupakan kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri .
Mangsa mula menunjukkan gejala pada 14 Mac dan telah dimasukkan ke Hospital Limbang sebelum dipindahkan ke Hospital Miri pada hari yang sama.
Apabila disahkan positif COVID-19 pada 16 Mac, mangsa menjalani rawatan susulan sebelum meninggal dunia pada hari ini dengan menjadikan keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 di seluruh negara kepada 14 kes keseluruhan.
Setakat hari ini, sebanyak 212 kes terbaru dilaporkan dengan jumlah kes terkini sebanyak 1,518 di Malaysia.
#COVID-19 #Hospital Miri #Hospital Umum Sarawak #JPBN Sarawak #kematian #Kluster Tabligh #Kuching #positif COVID-19 #Sarawak
;