Dua kemalangan, tiga maut dalam tempoh sejam

Abd Razak Mohd Ali
September 11, 2019 01:10 MYT
Dalam kejadian pertama, seorang maut dalam kemalangan antara sebuah kenderaan jenis Toyota Innova dengan sebuah lori berhampiran Kompleks KDN di Meru. - Foto JBPM
Tiga individu maut dalam dua kemalangan berasingan dalam tempoh kira-kira sejam di sini pada petang Rabu.
Dalam kejadian pertama, seorang maut dalam kemalangan antara sebuah kenderaan jenis Toyota Innova dengan sebuah lori berhampiran Kompleks KDN di Meru.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 3.13 petang.
“Terdapat tiga mangsa yang terlibat, dua menaiki Toyota Innova dan seorang pemandu lori.
“Seorang mangsa yang menaiki Innova maut di lokasi dan seorang lagi cedera manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu malam.
Katanya, anggota bomba telah mengeluarkan mangsa yang maut dari dalam kenderaan dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kira-kira sejam selepas itu, dua lagi maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler dan kereta Proton Iswara di Pos Raya, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands.
Menurut jurucakap JBPM Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 4.21 petang.
Katanya, pemandu kereta turut mengalami kecederaan manakala pemandu treler tidak cedera.
“Anggota membantu mengangkat mangsa terlibat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
#Cameron Highlands #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Jalan Simpang Pulai #JBPM Perak #kemalangan Ipoh #kemalangan maut #Kompleks KDN #Toyota Innova
;