Dua kelas SJKC Butterworth ditutup, murid dijangkiti influenza
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 8, 2020 15:04 MYT
Januari 8, 2020 15:04 MYT
Dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, Pulau Pinang ditutup selama 11 hari bermula hari ini selepas 19 muridnya dijangkiti virus Influenza A.
Sebelum itu, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPN) Pulau Pinang membuat siasatan selepas menerima aduan dari pihak sekolah yang mendapati 18 murid dari dua kelas tidak hadir ke sekolah pada Selasa.
Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan mendapati lima daripada murid dari kelas pertama tidak hadir kerana dijangkiti Influenza A manakala tiga murid mengalami simptom demam, batuk dan selesema.
Tiga lagi murid dikuarantin waris masing-masing di rumah kerana bimbang anak mereka dijangkiti influenza.
Beberapa lagi murid dari kelas kedua juga didapati tidak hadir ke sekolah kerana dijangkiti influenza.
Menurut Abdul Rashid, ada waris membawa anak mereka mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas mengalami demam, batuk dan selesema.
Lima daripada murid terbabit menerima rawatan di Hospital Pakar Bagan (BSC), seorang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Pakar Kanak-kanak manakala seorang lagi dimasukkan ke wad Hospital Island, Pulau Pinang.
Beberapa langkah pencegahan turut diambil bagi mengelakkan merebaknya virus influenza dengan mengarahkan semua guru dan murid membersihkan tangan masing-masing
Selain itu, guru dan murid yang mempunyai gejala klinikal seperti batuk, demam, sakit kepala dan sakit tekak dinasihatkan memakai penutup hidung bagi mengelakkan influenza merebak.
JPN turut mengarahkan kelas terbabit ditutup sehingga 18 Januari depan bagi mengelakkan wabak influenza menjadi serius dan akan dibuka semula pada Isnin 20 Januari.
#abatan Pendidikan Pulau Pinang
#JPN Pulau Pinang
#kelas ditutup
#kesihatan
#pendidikan
#sekolah ditutup
#Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina
#selesema
#SJKC Li Hwa
#virus Influenza A