Dua kedai makan, sebuah kedai runcit terbakar

Sinar Harian
Februari 11, 2025 08:10 MYT
Keadaan kebakaran tiga buah kedai di Jalan Institut Pertanian, UPM, Seri Kembangan, Serdang, pada Isnin. - Foto Sinar Harian
SERDANG: Sebanyak dua kedai makan dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Institut Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 11 malam.
"Seramai 20 anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Kembangan serta bantuan BBP Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan laporan komander operasi, kebakaran melibatkan deretan tiga buah kedai bangunan kelas C.
"Sebuah kedai makan dan kedai runcit terbakar 90 peratus, manakala sebuah lagi kedai makan musnah 80 peratus," katanya.
Beliau berkata, kebakaran telah berjaya dikawal pada jam 11.43 malam.
"Kebakaran itu tidak melibatkan mangsa, api telah berjaya dipadamkan dan kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan," ujarnya. - Sinar Harian
#kebakaran #JBPM Selangor #UPM #kedai terbakar
;