Dua kawasan di Sabah catat udara tidak sihat setakat 7 pagi

Bernama
Mac 25, 2024 08:45 MYT
Cahaya matahari ditutupi asap kebakaran hutan dekat Pekan Papar pada 13 Mac lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Dua kawasan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat setakat pukul 7 pagi ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Politeknik Kota Kinabalu dan Kimanis masing-masing mencatatkan bacaan IPU 136 dan 118.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan terdapat kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang kira-kira 3 kilometer dari Politeknik Kota Kinabalu bermula, semalam.
Balai Bomba Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan melalui dari talian MERS999 pada 4.19 petang sebelum bergerak ke lokasi sejauh 28 kilometer.
Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran air daripada tangki jentera dan operasi pemadaman akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama ke kawasan itu pagi ini mendapati kebakaran masih berlaku dan kepulan asap hitam menjulang tinggi mencemarkan udara di kawasan sekitar.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #Sabah #IPU tidak sihat #kualiti udara
;