Dua kawasan di Kuala Berang, satu di Kuala Kangsar dikenakan PKPD
Astro Awani
Februari 3, 2021 18:34 MYT
Februari 3, 2021 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Hulu Terengganu dan satu di Kuala Kangsar.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai selepas proses penilaian risiko dilakukan oleh Kementeri Kesihatan (KKM).
Dua kawasan di Terengganu itu adalah di Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters TNB di Kuala Berang yang akan mula dikuatkuasa pada Khamis (esok) sehingga 17 Februari ini.
"Sehingga 1 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 583 penduduk di 198 buah rumah serta mengawal jangkitan dalam komuniti di felda tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai Tapak Bina Kuarters TNB, Ismail berkata, daripada 386 ujian saringan yang dijalankan sebanyak 62 kes positif telah direkodkan.
Satu lagi kawasan yang dikenakan PKPD adalah di Felda Lasah dan Kg. Besi Api, di Kuala Kangsar, Perak.
"Sehingga 31 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 71 ujian saringandan daripada jumlah itu, sebanyak 35 kes positif COVID- 19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti ini untuk mengawal jangkitan dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian COVID-19," katanya.
#ismail sabri yaakob
#perintah kawalan pergerakan
#PKPD
#ujian saringan
#COVID-19
#kes positif
#Kuala Kangsar
#Kuala Berang
#KKM