Dua kapal berlanggar di perairan Muar

Afiezy Azaman
Julai 11, 2021 01:13 MYT
Kapal kargo MV Zephyr Lumos dan kapal tangki MV Galapagos berlanggar pada kedudukan 14.1 Barat Daya, Kuala Sungai Muar.
MUAR: Sebuah kapal tangki dilapor berlanggar dengan kapal kargo di perairan Muar sekitar 12 tengah malam, pada Ahad.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, pihaknya dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia menerima maklumat mengenai isyarat kecemasan daripada kedua-dua kapal berkenaan.
Kapal terbabit dikenal pasti sebagai kapal kargo MV Zephyr Lumos dan kapal tangki MV Galapagos, masing-masing di kedudukan 14.1 Barat Daya, Kuala Sungai Muar.
"MRSC Johor Bahru telah menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Batu Pahat (ZMBP) dan Pos Pengkalan Hadapan (FOB) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat bagi memohon bantuan aset.
"Kilat 47 daripada ZMBP dan PSC 37 Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran kejadian.
"Hasil pemerhatian dan pemantaun di lokasi kejadian disyaki kapal MV Zephyr Lumos telah terlanggar kapal kapal MV Galapagos dan sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
#TLDM #Indonesia #Johor Bahru #Muar #Batu Pahat #kemalangan #kapal tangki #kapal kargo #Nurul Hizam Zakaria #MV Zephyr Lumos #MV Galapagos #Pengarah Maritim Negeri Johor