Dua kanak-kanak terperangkap sembilan jam dalam lif ditemukan selamat

Bernama
Ogos 20, 2024 18:05 MYT
Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 9.26 malam, apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli makanan kira-kira pukul 2 petang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang semalam, ditemukan selamat tengah malam tadi selepas terperangkap dalam lif di sebuah pangsapuri di Taman Desa Petaling, Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras ASP Ravindar Singh Sarban Singh berkata kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 9.26 malam, apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli makanan kira-kira pukul 2 petang.
"Pada 12.30 tengah malam tadi, pihak pengurusan pangsapuri mengesan kedua-dua mangsa terperangkap dalam lif di tingkat empat pangsapuri tersebut, selepas membuat semakan rakaman kamera litar tertutup," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap kira-kira sembilan jam dalam lif tersebut sebelum pihak pengurusan pangsapuri berjaya mengeluarkan mereka dalam keadaan selamat.
Kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #terperangkap dalam lif #tidak pulang ke rumah #keluar beli makanan