Dua kanak-kanak maut, ibu kritikal dalam kebakaran rumah kedai
Shuhada Abdul Kadir
Julai 11, 2024 17:45 MYT
Julai 11, 2024 17:45 MYT
BANDAR HILIR: Dua beradik maut manakala ibu mereka kritikal selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota Melaka, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan adiknya berusia dua tahun empat bulan disahkan maut selepas dipercayai terhidu asap ketika berada di bilik sewa mereka di blok bangunan itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati terdapat saksi-saksi yang turut berada di dalam blok bangunan berkenaan sempat menyelamatkan diri selepas menyedari asap tebal masul ke dalam bilik mereka.
“Bangunan tiga tingkat ini dijadikan bilik sewa di tingkat dua dan tiga yang mana pemilik bangunan juga turut menjalankan perniagaan pelekat di tingkat bawah blok bangunan tersebut.
“Ketika kejadian tiga beranak ini berada di bilik sewa mereka di tingkat tiga bangunan yang mana mereka dipercayai terperangkap sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut katanya, bangunan tiga tingkat itu mempunyai 21 bilik sewa dan hanya enam berpenghuni, bagaimanapun tiada mangsa lain terlibat dipercayai mereka tiada di dalam bilik sewa dan keluar bekerja.
Selain itu, ibunya yang berusia 40 tahun kini masih menerima rawatan di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.33 tengah hari sebelum jentera daripada empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan pihaknya mendapati kebakaran dipercayai bermula daripada ruang pejabat yang berada di tingkat satu sebelum asap tebal merebak ke bilik-bilik sewa di tingkat dua dan tiga.
“Sejurus menerima maklumat menerusi panggilan 999, kita terus menggerakkan kira-kira 40 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian dan sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan.
“Kita percaya mangsa-mangsa yang terlibat ini mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dan kita juga berdepan sedikit kesukaran yang mana api telah merebak dan setiap tingkat bangunan ini dipenuhi asap,” katanya ketika ditemui di sini.
Mengulas lanjut katanya, buat masa ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
#dua kanak-kanak maut
#kebakaran
#Bandar Hilir Melaka
#Plaza Mahkota Melaka
#bomba
#sesak nafas
#ibu kritikal