Dua kanak-kanak maut dalam kemalangan treler dipandu bapa beriya-iya mengikut - Nenek
Bernama
November 3, 2020 16:58 MYT
November 3, 2020 16:58 MYT
KAMPAR: Dua kanak-kanak lelaki yang maut selepas lori treler yang dipandu ayah mereka terbabas di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar-Kota Bharu, Gopeng, malam tadi tidak pernah mahu mengikuti ayah mereka bekerja.
Bagaimanapun, keadaan semalam berbeza apabila Muhammad Afeef Rafiqie, 9, serta Arrian Nuh, 6, beriya-iya mahu mengikut ayahnya, Hafize Nizam Ali Supian, 30, yang turut sama maut dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam itu selepas makan tengah hari bersama keluarga di sebuah restoran di sini.
Normah Khalid, nenek kepada kanak-kanak tersebut berkata sebelum kejadian, menantunya, Hafize Nizam bersama isteri Shamshira Mohd Norizin,31, dan tiga anak mereka datang ke Kampar dari Langkap, Teluk Intan untuk makan di sebuah restoran dengan menaiki kenderaan berbeza.
"Anak saya Shamshira bersama tiga anak termasuk yang bongsu, Adeeb Hud berumur dua tahun naik satu kereta kerana Hafize Nizam mahu meneruskan kerja mengambil muatan simen dengan treler di Gopeng selepas makan.
"Entah mengapa selepas makan, Muhammad Afeef Rafiqie dan Arrian Nuh menangis-nangis mahu mengikut ayah mereka. Sebelum ini, mereka tidak pernah pun ikut ayah mereka pergi bekerja," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Kampar di sini, hari ini.
Normah, 66, berkata mereka sekeluarga menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa kira-kira pukul 10.30 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri kemalangan tersebut.
"Makcik tak sanggup tengok lama-lama, anak makcik (isteri mangsa) pun sudah tidak keruan, menangis dan meraung-raung melihat keadaan treler yang remuk. Apa pun kami reda dan anggap ini sebagai satu ujian Allah," katanya.
Normah berkata, anak bongsu mangsa, Adeeb Hud ada bertanyakan di mana ayah dan dua abangnya, namun anggota keluarga hanya mampu mengatakan ketiga-tiga mereka sedang tidur.
"Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, makcik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab dari pagi hingga ke malam mereka selalu datang bermain di rumah makcik di Chenderong Balai, Teluk Intan," katanya.
Sementara itu, isteri mangsa Shamshira ketika ditemui pemberita enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dan berada dalam keadaan tidak bermaya.
Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan petang ini. - BERNAMA