Dua kanak-kanak kritikal termakan makanan ringan ada racun tikus

Adie Sufian Zulkefli
Julai 8, 2024 12:10 MYT
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua beradik itu kini berada dalam keadaan kritikal. - Foto PDRM
KULIM: Dua kanak-kanak lelaki dilaporkan kritikal selepas makan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini pada Ahad.
Kanak-kanak berusia 2 dan 3 tahun terbabit makan makanan itu yang digantung di lokasi kejadian berdekatan rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa yang berusia 25 tahun pada jam 11 pagi selepas melihat anaknya muntah dan mulut berbuih.
“Ibu kanak-kanak itu segera membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
“Hasil siasatan polis mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar dikatakan mengandungi racun untuk dijadikan perangkap monyet.
"Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu dan tidak lama kemudian ibu mangsa mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azizul berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua beradik itu kini berada dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis sedang mengesan suspek yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan," katanya.
#Kanak-kanak #racun tikus #kritikal #adik beradik
;