Dua kanak-kanak hilang dihanyut arus deras di Keningau
Astro Awani
November 10, 2020 12:37 MYT
November 10, 2020 12:37 MYT
KENINGAU: Dua kanak-kanak hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Dangulad, di sini, lewat malam tadi.
Mangsa, seorang lelaki berusia 6 tahun dan seorang perempuan berusia 4 tahun, dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda bapa mereka dihanyutkan arus deras.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran, ketika kejadian, kenderaan terbabit sedang cuba melintasi jambatan di kampung tersebut.
"Dua beradik tersebut dipercayai hilang selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu ayah mereka dihanyutkan arus deras ketika melintasi jambatan simen di kampung terbabit.
"Ayah mangsa berjaya menyelamatkan diri namun dua anaknya yang masih di dalam kenderaan dihanyutkan arus deras berikutan air sungai yang naik secara mendadak.
"Dalam kejadian 12.08 tengah malam itu, dua buah rumah yang berada di tepi sungai turut musnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kenderaan terbabit kemudiannya ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.
Sehingga jam 10 pagi ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pihak bomba.
Kejadian banjir kilat dan air sungai naik mendadak melibatkan dua batang sungai iaitu Sungai Pampang dan Sungai Liawan.
Banjir turut menjejaskan beberapa buah kampung di sepanjang sungai terbabit.
Ini merupakan kejadian banjir kali ketiga di daerah itu selepas yang pertama dalam tragedi ribut tropika Greg pada 1996.
Kejadian yang berlaku pada 26 Disember itu meragut 238 nyawa selain 102 orang dilaporkan hilang dan tidak ditemui sehingga kini.
Pada 17 Dis 2017 juga, kejadian hampir sama turut berlaku sehingga mengakibatkan 10 buah rumah hanyut di Kampung Pampang.